Program yang hanya diadakan sempena sambutan Aidilfitri itu berlangsung di kampung tersebut selama 20 hari, mulai 9 Syawal (3 Julai) dan berakhir pada 28 Syawal (22 Julai) lalu.

Pengerusi Surau Nur Ehsan kampung itu, Kamsari Nor, 58, menjelaskan baraan adalah istilah Jawa yang bermaksud ziarah beramai-ramai berkumpulan dari sebuah rumah ke sebuah rumah sempena hari raya.

Menurutnya, warisan daripada budaya suku Jawa-Bengkalis itu telah bermula di Kampung Sungai Ramal Dalam pada 1926.

“Baraan di kampung ini telah dimulakan oleh ayah saya, Nor Sidek. Tradisi ini berasal dari Kepulauan Jawa dan diadakan bagi merapatkan silaturahim penduduk.

“Sementelah ketika itu, ada sedikit masalah antara penduduk suku Melayu-Kampar dan Melayu-Jawa. Lebih tepat tak ada persefahaman dan masing-masing buat hal sendiri, sedangkan mereka sama-sama meneroka dan menghuni kampung ini,” katanya kepada S2.

Menurut Kamsari, ayahnya berusaha menyatukan mereka dan berjaya melalui program baraan yang diadakan. Malah, kesan positif itu juga masih berlaku pada zaman moden ini apabila tradisi tersebut yang diadakan pada Syawal lalu berjaya merapatkan semula silaturahim dua jiran sekampung yang sudah lama tidak bertegur sapa.

Mengulas mengenai baraan, katanya, program bermula selepas solat isyak dan berlanjutan sehingga tengah malam. Penulis yang turut menyertai baraan pada 27 Syawal lalu dapat merasakan kemeriahannya. Konvoi bermotosikal dari surau akan singgah ke rumah pertama, kemudian rumah kedua dan seterusnya. Biasanya, setiap malam, sebanyak enam rumah dapat dikunjungi.

Pengisian pertama dalam baraan adalah Kamsari akan berucap bagi mengalu-alukan kedatangan penduduk dan memohon maaf mewakili penduduk memandangkan pada hari biasa, ada penduduk tidak sempat bermaafan.

“Selepas itu, doa dibaca dan berselawat. Kalau tuan rumah minta diadakan tahlil, kami akan buat. Selesai semuanya, barulah kami menikmati juadah yang disediakan,” katanya.

Beliau menambah: “Kalau dahulu, baraan diadakan mulai 1 Syawal pada waktu siang tetapi ramai penduduk tidak dapat menyertainya kerana berpuasa enam. Untuk menarik lebih ramai penduduk menyertainya, ayah saya buat sedikit perubahan iaitu baraan bermula pada 7 Syawal setiap malam selepas solat isyak.”

Mengulas lanjut, Kamsari berkata, baraan di kampung itu dibahagikan kepada tiga sesi iaitu baraan malam raya, selepas solat Aidilfitri dan mulai 7 Syawal.

Katanya, baraan malam raya biasanya melibatkan rumah warga emas iaitu jemaah surau akan berkunjung ke rumah mereka untuk takbir raya dan doa. Hanya jemaah lelaki terlibat dan berlanjutan sehingga pukul 2 dan 3 pagi.Biasanya, boleh ziarah sehingga 20 buah rumah.

“Sesi kedua diadakan selepas solat Aidilfitri sehingga sebelum masuk waktu asar pada 1 Syawal. Sekitar 16 buah rumah dapat dikunjungi dalam waktu itu.

“Sesi ketiga bermula 7 Syawal atau lewat sedikit. Sempena baraan tahun ini, sebanyak 105 buah rumah dapat dikunjungi,” tambahnya.

Beliau berkata, kemeriahan baraan dapat dirasakan apabila penduduk berpakaian baju raya, lengkap bersampin dan bersongkok bagi lelaki, manakala yang perempuan pula berbaju kurung.

“Aneka juadah disajikan di setiap rumah. Biasanya tuan rumah sudah berbincang untuk menyediakan juadah tertentu supaya menu tidak sama di setiap rumah.

“Ada juga sepakat hanya menyajikan hidangan di rumah terakhir yang dikunjungi. Maksudnya, rumah pertama hingga kelima dikunjungi untuk selawat dan berdoa sahaja. Tiba di rumah keenam, barulah kami dihidangkan makanan yang disediakan kesemua tuan rumah terbabit,” ujarnya.

Katanya, sekitar 150 hingga 200 penduduk terlibat menjayakaan baraan setiap malam, termasuk anak muda dan beliau berharap jumlah penyertaan akan meningkat pada tahun hadapan.