Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, meskipun ia memakan masa namun pihaknya tidak berganjak daripada perjuangannya itu.

“Pelaksanaan cuti bersalin satu bulan kepada bapa bukan sesuatu yang baharu malah telah dilaksanakan di banyak negara dan terbukti keberkesanannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Foto Swedish Dads and Malaysian Dads di sini hari ini.

Turut hadir Duta Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelf; Duta Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset dan Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Ikea, Lars Svensson.

Azizah berkata, pada masa ini, cuti bersalin untuk bapa bagi sektor kerajaan adalah satu minggu manakala sektor swasta bergantung kepada syarikat terbabit.

Beliau menyifatkan cuti sedia ada itu tidak mencukupi.

“Sebagai permulaan kita akan perjuangkan cuti bersalin dua minggu kepada bapa,” ujarnya.

Beliau berkata, penambahan cuti bersalin ini tidak seharus­nya dilihat sebagai satu kehendak tetapi adalah keperluan penting untuk keluarga.

Beliau berkata, majikan juga tidak seharusnya menganggap cuti bersalin ini sebagai isu peri­badi atau me­rugikan organisasi.

Sambil merujuk kepada Ikea yang memperke­nalkan cuti bergaji penuh satu bulan kepada kakitangan lelaki, beliau berkata, selepas tempoh cuti itu, Ikea mendapati mereka lebih bersemangat untuk menyambung tugas dan lebih produktif.

Sementara itu, pemenang pertandingan fotografi Swe­dish Dads and Malaysian Dads, Sharulnizam Mustapa, 32, berkata, selepas kelahiran anak ketiganya, dia mengambil keputusan untuk mengambil alih tugas menjaga anak-anak sepenuhnya sementara isterinya pula bekerja.

“Sebelum ini saya bekerja di Perak dan hanya pulang setiap hujung minggu, saya merasakan saya banyak kehilangan detik melihat anak-anak membesar, jadi saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menguruskan rumah,” katanya.

Bagaimanapun, dia me­ngakui menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah bukan mudah tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan.