Sekumpulan wartawan dan jurugambar menunggu hampir enam jam di hadapan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak di Nilai di sini, lokasi lelaki tersebut dijadualkan mengadakan sidang akhbar.

Lelaki yang enggan identitinya didedahkan semalam berjanji untuk membuat penjelasan pada pukul 10 pagi ini.

Bapa kanak-kanak itu ketika dihubungi wartawan mendakwa dia berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai bagi satu urusan dan berjanji untuk bertemu wartawan selepas menyelesaikan urusan tersebut.

Bagaimanapun kelibat lelaki tersebut tidak kelihatan dan beberapa panggilan telefon yang dibuat wartawan kepada lelaki itu juga tidak dijawab.

Mahkamah Majistret Seremban di sini semalam melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan atau nama sebenarnya Azizan Manap, 44, atas pertuduhan mencederakan murid lelaki berusia 11 tahun semasa perhimpunan pada 6 April lalu.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak itu didakwa bertindak menampar murid tersebut kerana kesalahan menghidu gam.

Keluarga murid itu semalam bagaimanapun mendakwa mempunyai bukti berhubung kecederaan anak mereka termasuk gambar dan laporan perubatan serta berjanji mendedahkan perkara itu hari ini. - UTUSAN ONLINE