Dia amat berharap Muhammad Syawal, anak kelimanya daripada tujuh beradik itu kembali sihat untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan.

"Saya berdoa agar tiada kecederaan lain yang lebih serius. Muhammad Syawal kini dalam keadaan stabil.

"Saya berharap dia kembali ke sekolah bersama rakan-rakan kerana bakal menduduki peperiksaan  UPSR tidak lama lagi," katanya di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan tindakan seorang Muhammad Syawal memanjat bahagian bumbung bangunan sekolahnya untuk mengambil sarang burung mengundang padah apabila dia terjatuh mengakibatkannya cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, Muhammad Syawal dikatakan memanjat bahagian bumbung bangunan empat tingkat sekolah tersebut bersama tiga lagi rakannya yang juga murid di situ.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan daerah, Mohd. Razali Mustafar berkata, mangsa kini mendapatkan rawatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan siasatan pihaknya mendapati tidak terdapat unsur kecuaian oleh pengurusan sekolah dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman sebaik sahaja menerima laporan tentang kejadian itu dan mendapati ia berlaku selepas sesi kelas tambahan selesai.

"Mangsa bersama rakannya tinggal di asrama sekolah, mereka ada jadual aktiviti dan saya dimaklumkan kumpulan murid terbabit memanjat ke kawasan bumbung bagi mencari burung selepas selesai kelas tambahan.

 "Tiada faktor kecuaian oleh pihak sekolah dalam kes ini dan kita berharap murid berkenaan segera sembuh untuk meneruskan sesi perbelajaran selepas ini," katanya ketika dihubungi. - UTUSAN ONLINE