Kuih donut yang dihasilkan sendiri oleh Idham Syafiq Darmilus, 31, itu mulai dijual dengan menggunakan motosikal di sekitar bandar raya ini sejak seminggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan kerana harganya yang murah.

Idham Syafiq yang merupakan pembantu kedai makan berkata, menerusi kerja sambilannya itu sedikit sebanyak dia dapat menampung perbelanjaan harian keluarga di samping melakukan amal jariah terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan.

"Memang ramai yang terkejut di tahun 2019 masih ada yang jual donut 10 sen. InsyaAllah untung itu ada asalkan kita benar-benar ikhlas berniaga.

Donut murah

Idham Syafiq Darmilus (kiri) bersama seorang pelanggan yang ingin membeli donut 10 sen sebiji di Bandaraya Kuala Terengganu, semalam. - GAMBAR MEDIA SOSIAL

"Donut yang saya hasilkan ini bersaiz mini dan menjadi kegemaran kanak-kanak, sekurang-kurangnya ia dapat bantu golongan lain yang tidak mampu beli makanan pada harga mahal," katanya di sini hari ini.

Menurut Idham Syafiq, isterinya, Edah Ali, 35, dan anak-anak tinggal bersama keluarga mertua di Dungun.

"Saya belajar membuat donut daripada isteri," katanya yang mendapat hasil jualan donutnya sekitar RM20 hingga RM21 setiap malam.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd. Azahari Yusof, 41, kagum dengan usaha Idham Syafiq menjual donut pada harga serendah 10 sen.

"Walau hanya beli RM3, ia cukup untuk tiga orang makan," katanya. - UTUSAN ONLINE