Keputusan itu ditetapkan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di sini hari ini selepas tempoh penjagaan sementara selama sebulan berakhir semalam.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman memutuskan demikian selepas meneliti laporan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak itu terjamin.

Pegawai Pelindung JKM, Zalina Yusof berkata, dia yang mengendalikan kes berkenaan perlu memantau perkembangan kanak-kanak itu dalam tempoh tersebut.

“Selain keputusan tersebut, mahkamah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi untuk memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak itu terjamin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 7 Oktober lepas, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri serta lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota.

Perbuatan di luar batas kemanusiaan itu dilakukan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang dikatakan hanya kerana tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Ekoran kejadian itu yang turut tular di media sosial, bapa tiri mangsa yang merupakan seorang anggota tentera ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

Lelaki berusia 35 tahun berkenaan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman berakhir sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan perundangan selanjutnya.

Pada 11 Oktober lalu, mahkamah memutuskan perintah jagaan sementara kepada bapa kandungnya selama sebulan. - UTUSAN ONLINE