Suleiman Mohd. Noor
Suleiman Mohd. Noor

Pemergiannya dimaklumkan oleh anak saudara Allahyarham, Zaid Zain ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Menurutnya, jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke kediamannya di Stulang Laut, di sini.

“Kesihatan arwah mula terjejas selepas bulan puasa lalu dan pernah dimasukkan ke wad, namun dimasukkan semula ke wad dua hari lalu kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Arwah meninggalkan seorang balu, Datin Norlida Abdul Jalal, 56, dan dua anak iaitu Norliza dan Mohd. Noor.

“Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, di sini pagi esok,” katanya.

Allahyarham yang juga bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) digelar Bapa Bola Sepak Johor kerana menjadi pencetus kebangkitan sukan berkenaan di negeri ini ketika era 1980-an dan 1990-an.

Allahyarham yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri turut menerima Anugerah Tokoh Sukan sempena Anugerah Sukan Johor 2015 atas sumbangannya terhadap pembangunan bola sepak di negeri ini.

Pada Februari tahun lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memberi penghargaan terhadap sumbangan Allahyarham dengan menamakan pusat latihan pasukan Johor Darul Ta’zim sebagai Pusat Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd. Noor.