Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Sazmi Miah berkata, keputusan itu dibuat selepas ladang tanam semula kelapa sawit telah mengeluarkan hasil dan akan diserah semula kepada peneroka untuk diusahakan sendiri.

Katanya, berdasarkan perjanjian sebelum ini, tanam semula antara peneroka dengan Kesedar akan tamat pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, bantuan sara hidup itu masih diberi pertimbangan untuk diteruskan kepada peneroka sekiranya berdepan dengan masalah kejatuhan harga sawit.

“Kita mengambil perhatian serius berhubung bebanan kos sara hidup peneroka yang tinggi dan ditambah pula dengan kejatuhan harga komoditi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian penubuhan Koperasi Harapan Sungai Asap, di RKT Kesedar Sungai Asap, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau juga turut menyerahkan replika kunci rumah Program Bantuan Rumah kepada lapan penduduk di kawasan itu.

Tambah Sazmi, kerajaan bersedia membuat pertimbangan bayaran sara hidup kepada peneroka sekiranya berdepan masalah pendapatan, namun mengikut tempoh tahun ke tahun.

Katanya, sudah tiba masanya golongan peneroka mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan pendapatan dalam zaman yang semakin maju ini.

“Insyaallah, pada tahun depan apabila tuaian hasil boleh dibuat, saya rasa peneroka mampu memperolehi pendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

“Kini ladang milik peneroka berusia antara empat hingga lima tahun sudah mengeluarkan hasil dan kita akan serah semula kepada mereka untuk uruskan sendiri selepas ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE