Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sesuai de­ngan sambutan tersebut dan se­­­bagai tanggungjawab sosial, pasar raya besar di negara ini wajar menyediakan kios tersebut bagi membantu usahawan dan peniaga kecil.

“Mereka wajar mencontohi usaha Pasar Raya Besar Lulu yang menyediakan ruang niaga kepada 12 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan pengusaha daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sepanjang Bulan Kebangsaan ini tanpa dikenakan sewa,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas melawat 12 premis IKS dan FAMA sempena Promosi Jualan My Malaysia di Pasar Raya Besar Lulu di Jakel Mall, Jalan Munsyi Abdullah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Wilayah Lulu Group Retail Sdn. Bhd., Shihab N. Yousaf; Pengurus Operasi Wilayah Lulu Group Retail Sdn. Bhd.; Kennady Soosay dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Ahmad Shabery berkata, beliau melihat pasar raya Lulu sebagai rakan kongsi kepada rakyat kerana kesungguhan pasar raya itu yang mempunyai lebih 100 cawangan di seluruh dunia memberikan peluang kepada produk tempatan untuk berada di ruang yang strategik dan senang dilihat oleh pe­ngunjung pasar raya itu.

“Apabila produk ber­kenaan mendapat sambutan di sini, Pasar Raya Besar Lulu akan membantu memasarkan pelbagai produk tempatan kita itu di semua cawa­ngan mereka di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bee2s Farm, Rasnani Arifin berkata, beliau berasa sangat bertuah kerana berpeluang mempromosi produk keluaran syarikatnya di pasar besar itu.

“Walaupun tempohnya agak singkat, bermula Khamis lalu sehingga 11 September ini, tetapi saya berharap produk yang pertama ini, iaitu penghasilan madu daripada lebah yang membuat sarang di dalam botol kecil dapat menarik minat pengunjung.

“Saya juga berharap produk saya ini termasuk madu kelulut dapat dipasarkan di seluruh pasar raya Lulu di luar negara,” katanya.

Promoter Kordial Sirap Kurma Gurun Emas, Norhafiz Ishak pula berkata, sambutan terhadap produk kordial keluaran syarikatnya begitu mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Sehinggakan hari ini, kami sudah kehabisan bekalan dan terpaksa menunggu stok.

“Syarikat kami menjalankan pelbagai penambahbaikan terha­dap buah kurma yang diimport dengan menjadikannya kordial sirap, satu-satunya keluaran seum­pamanya di negara ini,” katanya.