Mohamed Nazri Abdul Aziz
Mohamed Nazri Abdul Aziz

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, walaupun tahap kesedaran tentang peninggalan budaya baba dan nyonya dalam kalangan generasi muda kini kian terhakis namun pelbagai usaha akan dilakukan bagi memastikan budaya dan warisan masyarakat Cina Peranakan itu tidak dilupakan.

“Saya yakin ramai termasuk generasi seangkatan dengan saya tidak mengenali budaya baba dan nyonya apatah lagi golongan muda. Untuk itu kita perlu timbulkan kesedaran tentang warisan baba dan nyonya ini.

“Bukan hanya kerajaan sahaja yang perlu mengangkat sejarah mereka malah semua pihak termasuk pihak swasta dan orang persendirian juga perlu memainkan peranan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan dua buku berkaitan budaya baba dan nyonya di Muzium Straits Chinese Jewellery di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini sebentar tadi.

Buku `Straits Chinese Embroidery & Beadwork’ hasil nukilan Presiden Persatuan Baba dan Nyonya Pulau Pinang, Lilian Thong dan buku `A Baba Album’ karya Presiden Persatuan Baba dan Nyonya Singapura, Peter Wee itu mula dijual di muzium tersebut bermula hari ini masing-masing pada harga RM125 dan RM180.

Beliau memberitahu, sebagai langkah mengangkat budaya warisan baba dan nyonya, beliau akan meminta supaya kedua-dua buku yang dilancarkan hari ini dipamerkan di Perpustakaan Negara serta semua cawangan bagi memastikan masyarakat tidak lupa warisan tinggalan itu. - UTUSAN ONLINE