Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, dengan peruntukan berjumlah RM30 juta, pihak­nya menyasarkan untuk melahirkan seba­nyak 3,000 usahawan ber­gerak me­nerusi program tersebut sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, masih terdapat 879 kekosongan lagi yang bakal diisi oleh calon-calon usahawan berkelayakan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya kita menerima banyak permohonan dan sudah melebihi sasaran 3,000, namun kita tidak sewenang-wenang­nya memberi kelulusan. Kita mahu pastikan pemohon komited dan benar-benar memanfaatkan kemudahan diberi untuk berniaga.

“Penilaian terhadap calon dibuat oleh agensi-agensi me­ngikut kriteria ditetapkan ter­ma­suklah perlu mempu­nyai sijil kemahiran dan pernah mengikuti kursus-kursus pendek. Kalau belum ada, calon itu mestilah menyertai kursus terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pe­nye­rahan [email protected] Peringkat Ne­geri Kelantan kepada 70 peserta di Pusat Transformasi Ilmu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dolah dan Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Jamal Nasir Othman.

Ahmad Jazlan dalam pada itu memberitahu, berdasarkan kajian terkini, rata-rata peserta [email protected] berja­ya me­ningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding penda­patan asal.

“Jika pendapatan asal mere­ka ialah RM1,000 sebulan, selepas menyertai program ini pendapatan mereka meningkat sekitar RM1,300 hingga RM1,500 se­bulan.

“Ini membuktikan program diperkenalkan kementerian sejak tahun lalu ini benar-benar memberi manfaat kepada rak­yat, khususnya kepada golo­ngan belia di luar bandar,” katanya.

Ahmad Jaz­lan menambah, rentetan kejayaan dikecapi para peserta, beliau yakin program [email protected] tidak akan dihentikan, sebaliknya akan di­sambung pada tahun hadapan menerusi per­untukan baharu yang bakal diumumkan kelak.