Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, keputusan itu secara tidak langsung memberikan satu mesej moral yang tidak baik kerana menggambarkan sikap berputus asa untuk berjuang menuntut hak negara.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang hanya membisu dan tidak sedikit pun bersuara menyatakan pendirian kerajaan negeri sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan tersebut.

Berikut kenyataan 
penuh Mohamed Khaled:

1| Kerajaan Persekutuan telah dengan rasminya mengumumkan yang negara kita tidak akan meneruskan usaha dan prosiding rayuan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) daripada Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

2| Keputusan tersebut bukan sahaja tidak disertakan de­ngan justifikasi atau alasan yang kukuh, malah ia diputuskan ketika Peguam Negara sedang bercuti.

3| Biarpun Peguam Negara barangkali sudah memberikan nasihat dan pandangan, namun keputusan yang dibuat ketika beliau bercuti boleh menimbul­kan kontroversi dan kelihatan­ tidak teratur (improper).

4| Lebih penting, keputusan ini secara tidak langsung memberikan satu mesej moral yang tidak baik kepada kita selaku rakyat. Ia menggambarkan yang kita telah berputus asa untuk berjuang berhabis-habisan dalam menuntut perkara yang menjadi hak kita.

5| Ini bukanlah satu contoh keputusan yang baik. Kerajaan pastinya diharapkan oleh rakyat untuk terus mencuba sedaya upaya untuk menuntut perkara yang menjadi hak dan kedaulatan kita.

6| Pulau Batu Puteh sentiasa dilihat sebagai sebahagian daripada Johor dan seharusnya kekal sebagai sebahagian daripada Johor dan Malaysia.

7| Keputusan untuk tidak meneruskan prosiding tersebut se­olah-olah kita menyerah kalah dan melepaskan kedaulatan kita kepada Singapura dengan mudah tanpa mempertahankannya de­ngan sehabis daya dan usaha.

8| Ini adalah isu kedaulatan dan bukannya perkara remeh. Ia adalah perkara yang tidak boleh digalang-ganti. Jadi, ia mesti dipertahan dan diperjuangkan dengan setegas-tegasnya.

9| Lebih-lebih lagi ekoran wujudnya bukti dan keterangan baharu yang boleh dikemukakan sebelum ini, pihak Peguam Negara sendiri yakin bahawa kita masih mempunyai kes yang boleh dibawa dan dipertahankan dalam isu ini. Peluang tersebut seharusnya digunakan dengan sehabis baik.

10| Atas dasar inilah UMNO Johor berpendirian yang kerajaan Persekutuan seharusnya meneruskan kes dan prosiding ini dan tidak menghentikannya.

11| Lebih malang, keputusan tersebut langsung tidak mendapat sebarang maklum balas kerajaan negeri Johor.

12| Pihak Menteri Besar Johor hanya membisu dan tidak sedikit pun bersuara menyatakan pendirian kerajaan negeri sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan tersebut.

13| Tindakan sedemikian amat mendukacitakan. Kerajaan ne­geri seharusnya peka, aktif dan tegas menyatakan pendirian berhubung perkara ini terutama Pulau Batu Puteh terletak berhampiran de­ngan Johor dan sudah pastilah kedaulatan dan pemilikannya akan memberi kesan yang besar kepada persempadanan dan aktiviti laut di perairan Johor.

14| Kerajaan negeri tidak boleh sekadar bersikap acuh tidak acuh dan memilih untuk tidak mengambil peduli perkara yang besar dan sepenting ini.

15| Biar apa pun keputusan oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Johor seharus­nya mempunyai ketegasan dan menyatakan pendiriannya yang tersendiri berhubung perkara ini.

16| UMNO Johor menggesa kerajaan negeri Johor memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya dalam perkara ini.