Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Mustafha Abd. Razak berkata, pelan berkenaan bakal diperluaskan ke seluruh cawangan Bank Rakyat bermula tahun hadapan.

“Langkah ini adalah bersesuaian dengan polisi syarikat yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan kerana warga kerja adalah aset utama kami.

“Malah, kami ingin menambah keyakinan pelabur kepada Bank Rakyat seiring dengan usaha kerajaan dalam menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam penyampaian sijil bagi pengiktirafan sistem KKP yang dihadiri Pengarah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Shamsuddin Bardan di sini semalam.

Mustafha berkata, pihaknya memilih untuk mendapatkan persijilan mengikut Malaysian Standard 1722: Part 1: 2005 (MS1722) dan Occupational Health & Safety Assessment Series 18001:2007 (OHSAS 18001).

Katanya, standard berkenaan dapat membantu pihaknya dalam menguruskan isu KKP dan pematuhan perundangannya dengan lebih sistematik.

Sementara itu, Shamsuddin memuji langkah Bank Rakyat yang melantik pihaknya menjadi perunding sepanjang tempoh persijilan dijalankan semenjak 2013.

“Kami harap syarikat korporat lain juga mengikut langkah ini dan perlu sentiasa menitikberatkan aspek KKP dalam budaya kerja mereka supaya produktiviti pekerja menjadi lancar,” katanya.