Tutor bagi para pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapai­an Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu diedarkan kepada sekolah-seko­lah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu, Tatau, Sela­ngau dan Belaga.

Tahun ini, Bank Rakyat Ca­wa­ngan Bintulu meningkat­kan jumlah tajaan kepada RM4,040.40 berbanding RM2,112 tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Abdul Aziz Rosli berkata, tajaan Tutor merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat perbankan itu bagi membantu para pelajar di bahagian ini.

“Tahun ini kita mengambil ke­putusan meningkatkan jumlah ta­jaan kerana sumbangan Tutor dilihat berjaya meningkatkan kece­merlangan pelajar yang menja­dikan akhbar pendidikan ini sebagai bahan rujukan.

"Bank Rakyat sentiasa komited da­lam usaha meningkatkan bidang pendidikan dengan harapan da­pat melahirkan lebih ramai go­longan intelektual dalam pelbagai bidang untuk memenu­hi ke­perluan negara,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan Tutor tersebut di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abdul Aziz me­nyerahkan tajaan berkenaan kepada Timbalan PPD Bintulu, Fred Antau.

Yang turut hadir, Ketua Unit PPD Bintulu, Awangku Aliudin.

Menurut Abdul Aziz, akhbar sisipan pendidikan Utusan Malaysia itu didapati sesuai dijadikan medium dan wadah dalam sistem pendidikan di Malaysia masa kini.

Dalam pada itu Fred berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana ber­usaha membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di daerah itu menerusi penajaan Tutor untuk para murid dan pelajar.

“Kesan positif penajaan ini boleh dilihat apabila tahap kecemerlangan murid dan pelajar di daerah Bintulu berjaya ditingkatkan daripada ranking ke-25 pada 2015 kepada ke-18 di Sarawak, tahun lalu.

“Hal ini kerana Tutor mampu membantu pelajar berfikir lebih kreatif dan kritis menerusi pengisi­an bahan pembelajaran berkualiti di samping soalan yang disediakan berasaskan format ter­kini serta mampu memupuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

“Pengisian Tutor juga boleh membantu guru mengesan kelemahan murid dan pelajar melalui keupayaan mereka menjawab soalan mengikut topik serta me­laksanakan intervensi berfokus,” ujarnya.