Ketua Pegawai Risiko Bank Rak­yat, Md. Khairuddin Arshad yang mengetuai program itu berkata, tujuan aktiviti tersebut diadakan sebagai inisiatif warga kerja Bank Rakyat seluruh Malaysia dengan kerjasama Surau Al-Barakah di Menara Kembar Bank Rakyat mempamerkan keprihatinan terhadap umat Islam di Kemboja yang kurang bernasib baik.

Jelas beliau, secara keseluruhannya sebanyak 68 ekor lembu dan 17 ekor kambing bernilai RM154,150, disumbangkan oleh 350 warga kerja Bank Rakyat yang mengambil bahagian korban dan akikah yang diagihkan di tiga pusat penyembelihan utama di Kampot iaitu Kampung Keh, Kampung Mak Prang dan Kampung Priang Pring.

Selain itu, kata beliau, Bank Rakyat turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM20,000 selain sumbangan sekampit beras 15 kilogram dan minyak masak kepada 55 penduduk di Kampung Keh dan 135 penduduk Islam di Kampung Priang Pring yang dilanda musibah banjir baru-baru ini.

“Bank Rakyat memilih Kampot kerana daerah ini mempunyai penduduk Islam kedua paling ramai selepas daerah Kampung Cham dan mereka kurang diberi perhatian.

“Saya berharap melalui program seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi membantu pembangunan dan mengukuhkan hubungan antara Bank Rakyat dan penduduk Islam di Kemboja,” katanya selepas menghadiri sesi ibadah korban di Masjid Al-Hamdiyah di Kampung Mak Prang.

Seramai tujuh wakil Bank Rakyat terlibat dalam program tersebut selain dibantu oleh dua pensyarah, masing-masing dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Naib Presiden Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd. Zamerey Abd. Razak berkata, pihak Surau Al-Barakah turut menyumbangkan cek bernilai RM17,200 bagi pembinaan kuarters guru yang mengajar di Madrasah Akademi Imam Syafie di Kampung Keh yang kini mempunyai kira-kira 200 pelajar dan 20 guru.

Zamerey yang merupakan Pengerusi Akademi Imam Syafie berkata, Bank Rakyat terlibat secara langsung dalam pembangunan penduduk Islam Kampot sejak 2011 apabila menyumbangkan dana kewangan bagi pembinaan sekolah, asrama dan surau.

“Kami menumpukan perhatian kepada pembangunan sekolah sebagai asas paling penting bagi membantu pelajar Islam yang kurang bernasib baik mendapatkan pendidikan dengan baik.

“Saya berharap usaha murni Bank Rakyat ini dapat melonjakkan taraf pendidikan penduduk Islam di Kampot demi kebaikan generasi akan datang,” katanya.