Teguran itu telah dibuat pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudddin Nasution Ismail berkata, nasihat BNM tidak didengari oleh pemerintahan terdahulu.

“Pada Mei 2018, kerajaan beralih tangan. Tabung Haji diaudit semula dan angka-angka dan fakta-fakta kewangan Tabung Haji didapati sakit. Bahkan sakit teruk.
“Setelah pelaburan yang rugi dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, akaun Tabung Haji jadi ‘cantik’.

Namun, tidaklah cukup sihat untuk mampu bayar hibah,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya hari ini.
Semalam, kata Saifuddin, Tabung Haji diumumkan akan bayar hibah untuk tahun kewangan berakhir 2018 sebanyak 1.25 peratus dan untuk hibah ini, kerajaan sebenarnya terpaksa memasukkan dana ke dalam Tabung Haji.

Katanya, pakej menyelamat ini selama 10 tahun tempoh manakala setiap tahun kerajaan perlu suntik dana ke dalam Tabung Haji.
“Memulihkan Tabung Haji khususnya pelaburan adalah keutamaan kerajaan. Hibah dan subsidi diteruskan biarpun kerajaan kena masukkan duit ke dalam Tabung Haji,” ujarnya.
Beliau menambah, sebelum ini, terdapat dua cara Tabung Haji membayar hibah kepada pendeposit iaitu memanipulasi akaun untuk menunjukkan bahawa tabung dana itu mencatatkan keuntungan.
Kedua, katanya, Tabung Haji menggunakan duit pendeposit untuk membayar hibah dan subsidi haji. -UTUSAN ONLINE