Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, banjir tidak akan menjejaskan peperiksaan SPM dan kementerian akan terus memantau situasi semasa berhubung bencana tersebut.

Setakat ini katanya, hanya dua pusat peperiksaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin dengan 100 calon peperiksaan akan dipindahkan ke SMK Seberang Jaya.

"Sebuah lagi sekolah ialah ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin dengan 400 calon akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin bagi menjalani peperiksaan SPM.

"Agensi kerajaan akan membantu dari segi logistik untuk membawa calon dan kertas peperiksaan ke sekolah terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu katanya, situasi banjir di Kedah masih terkawal dan semua 261 pusat peperiksaan di negeri itu akan berjalan seperti yang dijadualkan dengan bilangan calon sebanyak 34,672 akan menduduki peperiksaan SPM.

Dalam pada itu katanya, kementerian akan terus memantau situasi bencana banjir dari masa ke masa dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menjaga keselamatan semua petugas dan calon peperiksaan. - UTUSAN ONLINE