Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman berkata, sebanyak 51 buah sekolah sudah dikenal pasti berisiko mengalami kerosakan.

Beliau berkata, antara kerosakan yang sering dilaporkan sekolah yang dijadikan PPS adalah kerosakan pintu bilik darjah; pintu tandas; tandas tersumbat dan pendawaian elektrik.

"Kita membuat permohonan kepada Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan sebagai persediaan awal untuk membantu sekolah.

"Kerajaan biasanya akan segera memberi peruntukan jika terdapat sekolah yang terjejas teruk sehingga menyebabkan tidak dapat dibuka untuk sesi persekolahan baharu.

"Namun pada tahun ini kita jangka kerosakan tidak terlalu besar kerana kebanyakan sekolah yang berisiko banjir biasanya sudah bersedia dari awal memastikan peralatan seperti kerusi dan meja dialih ke tempat yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Timbalan Pengarah Pendidikan di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE