Cuaca yang kembali cerah di sebahagian besar negeri ini menyumbang kepada faktor paras air semakin menurun membolehkan tiga daripada enam pusat penempatan sementara ditutup sejak tengah hari ini.


Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Leftenan Kolonel Effendy Ali berkata, tiga pusat pemindahan sementara iaitu di Balai Raya Air Tawar di Jasin ditutup sejak malam tadi manakala dua lagi pusat pemindahan di daerah Alor Gajah iaitu di Tadika JAIM Kampung Pulau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing ditutup pukul 12 tengah hari ini.


“Sehingga pukul 4.30 petang ini, hanya tiga pusat pemindahan sementara masih dibuka iaitu di SK Tehel dan Balai Raya Seri Mendapat di Jasin yang menempatkan 121 mangsa daripada 31 keluarga.


“Manakala di Alor Gajah, hanya Balai Raya Kampung Seri Jeram masih beroperasi menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.


Menurut beliau, keadaan cuaca juga dilaporkan setakat petang ini memungkinkan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang hari ini. - UTUSAN ONLINE