Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Zaiton Ab. Samad berkata, situasi itu disebabkan oleh a­ngin Pasifik dijangka terus bertiup dan membawa hujan ke beberapa ka­wasan berdekatan pantai di ke­dua-dua negeri tersebut dalam tempoh tersebut.

“Bagaimanapun keadaan ini akan reda dalam tempoh terdekat untuk sementara waktu sebelum kembali hujan, namun kita akan terus memantau,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Banjir di dua buah negeri itu menjejaskan tujuh daerah di Terengganu dan sembilan jajahan di Kelantan serta ribuan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Mengulas lanjut, Zaiton berkata, bagi menangani situasi ber­kenaan, sebanyak 270 pusat pe­min­dahan dibuka di kedua-dua negeri berkenaan setakat pukul 11 pagi ini.

Kata beliau, beberapa buah lagi pusat pemindahan akan dibuka berikutan bacaan paras air di beberapa sungai utama di kedua-dua negeri itu semakin meningkat.

Menurut Zaiton, di Kelantan pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang mencatatkan jumlah paling ramai dengan bilangan 1,535 mangsa diikuti SK Sri Rantau Panjang II sebanyak 1,367 mangsa manakala di Terengganu pula daerah Setiu paling ramai terjejas melibatkan 3,900 keluarga .

Beliau turut menjelaskan daerah Bachok adalah yang terbaharu dilanda banjir menjadikan sembilan jajahan di Kelantan dinaiki air dengan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan dengan 4,545 orang melibatkan 1,790 keluarga.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, bekalan makanan yang diagihkan ke pusat pemindahan mangsa banjir di negeri-negeri tersebut masih mencukupi meskipun terdapat pertambahan pusat pemindahan.

“Kita tidak risau tentang bekalan makanan kepada mangsa kerana lebih 30,000 Kit Makanan Permulaan Banjir yang bernilai RM70 setiap satu yang mengan­dungi makanan kering telah disediakan manakala bekalan makanan untuk memasak dan keperluan asas diri juga turut ditambah dari semasa ke semasa.

Jelas beliau, persediaan itu dibuat sejak awal bagi mengelak mangsa kekurangan makanan dan keperluan asas sepanjang berada di pusat-pusat pemindahan ber­kenaan.