Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamah menegaskan, kerajaan dan rakyat hanya boleh maju sekiranya rasuah dapat dibanteras.

Beliau berkata, justeru adalah penting bagi rakyat Malaysia  meningkatkan nilai dan standard mereka dalam membanteras jenayah tersebut.

"Jika kita mahu sekali lagi menyertai kelompok negara maju, kembali menjadi harimau Asia, kita perlu menentang rasuah dengan serius.

"Tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan tersebut," katanya berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Amir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani.

Anugerah tersebut dianjurkan oleh Rule of Law and Anti-Corruption Center (ROLACC), Doha, Qatar dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC). - UTUSAN ONLINE