"Walaupun beta berbangga menyatakan bahawa beta adalah 'Bangsa Johor', tetapi beta tetap warganegara Malaysia. Apabila di luar negara, sekiranya sesiapa bertanya beta dari mana, beta dengan bangga bertitah, 'Malaysia'.

"Kami tidak mempunyai sebarang motif tidak baik atau agenda tersembunyi. Niat kami tetap demi Malaysia yang lebih sejahtera. Sekiranya beta diberi peluang untuk menyatukan rakyat Malaysia, beta akan menunaikannya. Beta akan mencemar duli berangkat ke seluruh negara kerana beta tahu bagaimana hendak melakukannya," titah Sultan Ibrahim yang dipetik daripada wawancara eksklusif dengan akhbar harian berbahasa Inggeris , New Straits Times (NST), yang disiarkan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, seperti Johor, negeri lain juga patut mempunyai identiti masing-masing agar rakyat Malaysia dapat meraikan perbezaan yang wujud.

Menjawab soalan tentang teguran keras baginda terhadap kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai 'Bangsa Johor', Sultan Ibrahim bertitah, seseorang yang tidak tahu mengenai sejarah atau latar belakang sesuatu perkara, usahlah bercakap mengenainya.

Ketika menjawab soalan hadirin mengenai 'Bangsa Johor' pada satu majlis baru-baru ini, Dr. Mahathir mengkritik perkara itu dengan berkata trend memberi penekanan tentang "kewarganegaraan negeri" boleh meruntuhkan perpaduan rakyat Malaysia.

Sultan Ibrahim bertitah, sejarah konsep 'Bangsa Johor' bermula pada kira-kira tahun 1920 apabila nenda baginda, Sultan Sir Ibrahim mendapatinya perlunya mensyukuri dan menyatukan pelbagai kaum yang sama-sama menyumbang ke arah pembukaan Johor.

"Orang Cina, India dan Jawa semuanya dipelawa menyertai orang Melayu pada sekitar tahun 1800 oleh ayahanda baginda, Sultan Sir Abu Bakar dan nenda baginda, Temenggung Daeng Ibrahim, untuk mencari rezeki di Johor. Mereka bekerja keras memugar tanah dan membina Johor yang dipenuhi hutan belantara dan mempunyai jumlah penduduk yang amat kecil ketika itu," titah baginda. - BERNAMA