Mohd. Azmi

Presiden Majlis Pe­rundingan Pertubu­han Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abd. Hamid berkata, tindak-tanduk sekatan itu ternyata sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan lebih-lebih lagi kepada wanita, kanak-kanak serta warga emas yang menggadai nyawa untuk menyelamatkan diri.

“Ini menunjukkan negara tersebut tidak menghormati undang-undang tersebut dan kita kesal walau sebelum ini Bangladesh sudah terima banyak pelarian Rohingya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kira-kira 1,000 orang etnik Islam Rohingya kini terperangkap di kawasan sempadan antara Bangladesh-Myan­mar selepas dilarang memasuki negara itu.

Pasukan pengawal sempadan Bangladesh tidak lagi membenarkan kemasukan mereka apabila berlaku peningkatan jumlah kemasukan pelarian tersebut awal bulan ini selepas pertempuran baharu di barat laut Myanmar.

Pertempuran itu tercetus antara kumpulan pemisah Rohingya dengan pasukan keselamatan Myanmar yang menyaksikan ang­kat kematian meningkat kepada 89 orang termasuk 77 pemberontak dan 12 anggota keselamatan.

Sementara itu, Mohd. Azmi turut menggesa supaya negara-negara lain termasuk ASEAN untuk campur tangan agar pertempuran tersebut dapat dihentikan dan pembunuhan tidak lagi berterusan.

“ASEAN juga perlu menolak alasan Myanmar melakukan ke­ganasan kerana masalah dalaman. Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menghantar tentera pengaman dan melakukan gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran ini,” katanya.