Sebagai permulaan bagi menjana ke arah itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu, projek hartanah bercampur bersama kemudahan asas akan dibina di tanah seluas 6.89 hektar berse­belahan Masjid Jabi dekat sini.

Beliau yakin dengan pelbagai perancangan bagi penduduk di DUN Jabi, pekan yang dikenali dengan sate akan menikmati pembangunan lebih pesat di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Bila ingat Jabi orang terus ingat sate Jabi kerana kekuatan kepada jenama sama seperti bila ingat Terengganu terus ingat Teganu molek doh,” katanya ketika berucap dalam Program Pe­mimpin Bersama Rakyat di DUN Jabi 2018 di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee; Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad; Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar dan Bendahari UMNO Bahagian Setiu, Datuk Che Mohd. Zulkifly Jusoh.

Beliau turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bandar Baharu Jabi, Majlis Pecah Ta­nah Kompleks Sukan Mini Jabi di samping pelancaran Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Serikandi Terengganu 2018 dan Jelajah Kembara Kebajikan 1Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, Sekolah Kebangsaan Jabi akan dicadang­kan sebagai sekolah rendah sukan pertama di negara ini susulan pembinaan Kompleks Sukan Mini Jabi yang bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, cadangan yang akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi memaksimumkan manfaat kewujudan Kompleks Sukan Mini Jabi yang bakal dimulakan pembinaannya bulan depan dengan kos dianggarkan RM9 juta.

“Sekolah Kebangsaan Jabi de­kat sini yang terletak berhampiran tapak kompleks sukan berkenaan boleh dijadikan tapak kepada pelaksanaan projek sekolah sukan peringkat rendah tersebut,” katanya.