Ini kerana segala keputusan terletak pada tangan suami sebagai ketua dan pemimpin dalam keluarga, manakala isteri pula wajib menurut kata apa sahaja keputusan suami.

Bagaimanapun, Islam itu tidaklah menzalimi kaum isteri kerana suami masih boleh bersikap bertoleransi atas keputusannya itu.

“Isu berebut balik raya di kampung siapa, sebenarnya isu yang amat kecil dalam Islam. Malah lebih kepada aspek budaya atau sensitiviti orang Melayu.

“Kalau isu itu diperbesarkan, ia boleh mengundang risiko kepada penceraian sekali gus mensia-siakan pahala Ramadan,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga pendakwah, Dr. Mohd. Sukki Othman atau lebih dikenali Ustaz Shauqi.

Menurut Mohd. Sukki, tindakan suami isteri yang sering bergaduh atau bermasam muka semata-mata berebut giliran pulang ke kampung berhari raya sebenarnya tidak wajar berlaku.

“Isteri wajib mengikut apa sahaja keputusan suami. Pulang berhari-raya di kampung isteri merupakan satu ihsan daripada suami kepada pasangannya,” katanya.

Ditanya ba­gai­mana pula dengan pasangan suami isteri yang membawa haluan sendiri ketika berhari-raya iaitu suami pulang ke kampung halamannya, manakala isteri ke kampung sendiri, Mohd. Sukki berkata: “Tindakan itu sebenarnya tidak melihat kebaikan dalam hubungan bersuami isteri.”

Katanya, perkara itu lebih kepada mempertahankan ego masing-masing, selain mengelak berlakunya pergaduhan akibat keengganan bertolak-ansur dalam rumah tangga.

“Ini lebih kepada hubungan yang sedikit sebanyak menyumbang kepada situasi retak menanti belah,” katanya.