Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon (gambar), ia menjadi kebiasaan kepada sesetengah pengguna walaupun WhatsApp atau mesej yang diterima ketika itu bukan kecemasan atau sesuatu yang penting.

Beliau berkata, seorang pemandu boleh kehilangan dua kali tumpuan jika menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“(Tabiat) Ini bukan sahaja di Malaysia, sudah tabiat apabila ada mesej kita berasa tidak senang, tetapi ia harus faham bahawa mesej boleh tunggu ketika memandu atau menunggang motosikal. Kadang kala mesej yang diterima tidak penting pun sedangkan ia meningkatkan risiko yang tidak berbaloi,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan jumlah kemalangan jalan raya seluruh negara meningkat 17,147 kes setakat 11 hari pelaksanaan Op Selamat berbanding 15,527 kes bagi tempoh sama tahun lalu manakala berdasarkan saman yang dikeluarkan kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu merupakan kesalahan kerap dilakukan oleh pengguna jalan raya.

Tambah Shaw Voo, tindakan membalas mesej melalui aplikasi WhatsApp atau sistem pesanan ringkas (SMS) ketika memandu memerlukan kebolehan luar biasa dan jika hilang tumpuan ia boleh menyebabkan kemalangan sehingga mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

“Berdasarkan kajian MIROS seorang pemandu berisiko me­langgar seorang pejalan kaki jika menggunakan telefon bimbit semasa memandu berbanding mereka yang tidak menggunakannya. Ia berikutan pemandu berkenaan memberi tumpuan kepada alat peranti tersebut menyebabkan dia lambat menekan brek apabila seorang pejalan kaki sedang melintas,” katanya.