Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah berkata, pihaknya telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan USM bagi mewujudkan cawangan baharu di kawasan tersebut khusus untuk program pengajian jarak jauh (PJJ).

Katanya, cawangan itu juga akan dilengkapi dengan pusat penyelidikan yang menjalankan aktiviti-aktiviti pemindahan teknologi berasaskan pertanian.

“Pada peringkat permulaan, kami merancang untuk menggunakan tiga buah bangunan sekolah lama sebagai penempatan sementara cawangan tersebut.

“Usaha ini akan turut melibatkan pelbagai pihak lain daripada kerajaan negeri dan Persekutuan menerusi pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kerana menjadi harapan saya supaya Luak Johol menjadi kawasan yang memartabatkan ilmu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Utusan off Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, anakanda Undang Luak Johol, Farah Mariam Muhammed.

Terdahulu, ketibaan Muhammed dan delegasi disambut oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pe­ngarang Kosmo! Datuk Baharom Mahusin dan Penolong Pe­ngarang Utusan Malaysia, Rozaman Ismail.

Dalam perkembangan lain, Muhammed yang dilantik memegang jawatan itu pada 27 Mac tahun lalu memberitahu, beliau merancang untuk mengadakan pertemuan dengan datuk-datuk adat di tiga daerahnya iaitu Tampin, Jempol dan Kuala Pilah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kes perceraian yang semakin meningkat dalam kala­ngan generasi muda.

Katanya, beliau percaya datuk-datuk adat memainkan peranan penting sebagai kaunselor kepada pasangan muda yang mengalami masalah dalam rumah tangga.

Tambah beliau, kebiasaannya bakal pengantin lelaki dan pe­rempuan akan berjumpa dengan datuk adat sebelum melangsungkan perkahwinan, keadaan berbeza apabila pasangan terbabit ingin bercerai.

“Sekurang-kurangnya datuk adat boleh memberi nasihat atau kaunseling sekali gus menyelamatkan perkahwinan tersebut. Saya tidak mahu kes-kes perceraian di Luak Johol meningkat dari masa ke semasa,” katanya.