Menurut jurucakap, pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk mengadakan pameran animasi dari Jepun itu.

Malah pihaknya turut mengambil berat isu berkenaan dan menegaskan tetap mengutamakan seni dan karyawan tempatan.

“Untuk makluman kalendar program dan pameran untuk tahun 2020 telah pun dirancang dengan pengisian khas yang menarik dengan Pameran Koleksi Seni Visual Negara dan pelukis terkenal yang menampilkan karya yang bertemakan tempat dan tempatan sebagai menyokong usaha TMM 2020.

“Jika Doraemon membuat promosi di Jepun, mereka boleh promosi sekali Tahun Melawat Malaysia 2020. Jika mereka ada perancangan untuk membuat pameran, kita boleh bekerjasama”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan sedemikian dikeluarkan selepas laporan sebuah akhbar tempatan semalam menimbulkan kekeliruan sehingga Balai Seni Negara seolah-olah mengangkat Doraemon sebagai pameran utama.

Walau bagaimanapun, kenyataan dimaksudkan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Rashidi Hasbullah ketika Perasmian Doraemon Pop-Up Store adalah bertentangan dengan laporan yang disiarkan.

“Doraemon ini sangat popular, tahun depan merupakan TMM 2020 dan juga kebetulan Jepun menganjurkan Sukan Olimpik 2020.

“Untuk maklumat tambahan, Doraemon Pop -Up Store adalah program promosi bergerak produk dan cenderamata Doraemon dan bukannya berbentuk pameran,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE