Pameran tersebut merupakan anjuran Persatuan Seni Lukis Kelantan (Peseni) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK).

Presiden Peseni, Ismail Kadir berkata, kesemua hasil lukisan itu dihasilkan menggambarkan pelbagai sudut seperti geografi, sejarah, persekitaran tradisi, budaya, musim dan pembangunan semasa.

Katanya, karya-karya itu diolah dan dipersembahkan dalam berbagai gaya dan teknik seni lukis termasuk cat air, cat minyak, akrilik, dakwat dan batik.

"Pameran itu diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada pelukis berbakat mempamerkan karya mereka kepada orang ramai selain pengiktirafan kepada hasil seni mereka.

"Sepanjang pameran ini, sebanyak tujuh lukisan sudah terjual dengan harga bermula RM200 sehingga mencecah RM7,000," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran Lukisan Lanskap Bandar Kota Bharu, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Wawasan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman.

Yang turut hadir, Pengarah PMNK, Mohamad Nazwan Ismail. - UTUSAN ONLINE