Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, jumlah bungkusan Hari Raya yang disumbangkan pada tahun ini lebih banyak jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini dengan kos sebanyak RM541,500.

“Bakti juga mengadakan kelainan. Jika sebelum ini Bakti menyediakan nasi impit dan kuah kacang, namun pada tahun ini, setiap bungkusan terdiri daripada nasi beriyani, ayam masak merah, dalca sayur, acar buah dan bawang goreng yang dibekalkan oleh Dewina Food Industries Sdn. Bhd.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,000 bungkusan akan diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 30,000 bungkusan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 7,000 kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan negara sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri Kepada Pasukan Keselamatan Negara dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar.

Rosmah berkata, pihaknya turut berbangga kerana proses pembungkusan itu turut dibantu oleh pasukan keselamatan negara dan juga penyertaan daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta para belia daripada Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) dan Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Sementara itu, Khalid berkata, keprihatinan Bakti memberi sumbangan juadah Hari Raya terhadap pasukan keselamatan negara menaikkan semangat mereka yang terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika Aidilfitri demi menggalas tugas yang telah diamanahkan.

“Pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan demi memastikan negara berada dalam keadaan yang baik termasuklah ketika di bulan Ramadan dan Hari Raya. Sekali lagi kita berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan itu, diharap ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada pasukan keselamatan ketika bertugas di perbatasan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE