Sumbangan itu disampaikan isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor kepada Pengasas yang juga Pemegang Amanah Yayasan Gurpuri, Giani Sukhdaiv Singh semasa berkunjung ke rumah kebajikan berkenaan sempena perayaan kaum Sikh tersebut.

Dalam ucapannya, Giani Sukhdaiv melahirkan peng­hargaan kepada Rosmah dan ahli Bakti yang melawat rumah itu setiap tahun.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 2000, sebanyak 105 pelajar rumah perlindungan itu telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dalam pelbagai bidang. 

“Selain itu, kami juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi sokongan dalam pembinaan rumah perlindungan yayasan itu di Bentong, Pahang. 

“Melalui sokongan Perdana Menteri, sebidang tanah yang berstatus pertanian berjaya ditukar kepada tanah institusi kebajikan dan ini menjimatkan kos kami sebanyak RM131,000,” katanya di sini hari ini.

Fasa pertama pembinaan rumah perlindungan dengan kos RM11 juta itu merangkumi sebuah bangunan tiga tingkat, bangunan satu tingkat, pusat latihan perniagaan untuk ibu tunggal dan pusat vokasional di kawasan seluas 6.78 hektar. 

Dalam pada itu, Rosmah turut meluangkan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra dengan penghuni dan menyaksikan tarian serta persembahan oleh kanak-kanak yayasan tersebut.

Rumah Yayasan Gurpuri kini dihuni sebanyak 70 kanak-kanak dan dewasa, berusia antara lima dan 22 tahun.