Shariffa SABRINA SYED AKIL (tengah) bersama beberapa penduduk Orang Asli Cenawing di salah sebuah sekatan yang didirikan mereka untuk menghalang laluan ke kawasan pembalakan.

Ketamakan pembalak terlibat bukan sahaja memusnahkan flora dan fauna bahkan tindakan menggondolkan kawasan tersebut turut menjadikan Hulu Perak sebagai lokasi berisiko tinggi diancam bencana.

Lebih menyedihkan, kehidupan masyarakat Orang Asli turut terjejas apabila kawasan rayau untuk mereka mencari rezeki kini lenyap selain sumber air bersih tercemar berikutan aktiviti penerokaan haram melam­paui had pembalakan ditetapkan di bawah lesen dikeluarkan.

Mengulas masalah tersebut, Presiden Pertubuhan Pelin­dung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mempersoalkan si­tuasi yang kini menimpa daerah berkenaan, sedangkan hampir keseluruhan aktiviti pembalakan di negeri terbabit adalah berlesen.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak wujudnya akti­viti pembalakan di luar kawasan pelesenan iaitu turut ditakrifkan sebagai penerokaan haram.

Ujar beliau, Peka turut menerima aduan berhubung pencerobohan tanah adat yang berlaku di dalam dan luar hutan simpan kekal.

“Bagi daerah Hulu Perak, kawasan terlibat adalah seperti di Pos Kemar, selain daerah Kuala Kangsar di Pos Piah, Hutan Simpan Piah, Hutan Simpan Korbu dan Kledang Saiong.

“Sementara itu di Batang Padang pula contohnya Hutan Simpan Bukit Tapah dan Hutan Simpan Bukit Selim,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan hutan simpan kekal di Hulu Perak diteroka secara haram akibat ketamakan pembalak yang menarah pokok le­bih daripada kawasan ditetapkan oleh lesen dimiliki

Media sebelum ini turut melaporkan penduduk Orang Asli Cenawing di Gerik, Perak mendakwa pernah cuba disogok dengan bayaran wang tunai berjumlah RM600,000 daripada pembalak yang menceroboh kawasan tanah adat.

Shariffa Sabrina berkata, Orang Asli turut mendirikan beberapa pondok sekatan bagi menghalang pencerobohan ter­babit.

“Tidak mustahil bencana alam seperti di Cameron Highlands akan berlaku khususnya di Hulu Perak sekiranya pihak berkuasa negeri tidak mengambil perhatian bersungguh-sungguh terhadap aktiviti pembalakan tidak terkawal,” katanya.