Difahamkan, kali terakhir Nur Zulaikha Abdul Hamid, 20, dilihat keluar dari rumah pada pukul 9 pagi menuju ke pasar pagi di Geting, di sini untuk membeli pakaian serta barangan keperluan bersama seorang rakan perempuan.

Menurut kakak mangsa, Norhafisah Abdul Hamid, 21, memandangkan adiknya itu gagal dikesan, ahli keluarga bertindak membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Kubor, sehari selepas kejadian.

“Dia tidak membawa telefon bimbitnya. Kejadian ini membuatkan ibu, Hasnah Dollah, 59, serta bapa, Abdul Hamid Dolah, 64, yang menghidap penyakit angin ahmar sejak 11 tahun lalu buntu dan kerisauan.

“Ibu bapa saya menjadi tidak berselera kerana risaukan ke­selamatannya. Lebih merisaukan kami dia bakal menamatkan zaman bujang pada 28 November ini,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.

Norhafisah berkata, adik bongsu daripada 10 beradik itu sebelum ini bekerja di kedai serbaneka 24 jam di Shah Alam, Selangor sebelum berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk melakukan persiapan perkahwinan dengan pasangannya yang berusia 28 tahun.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk mengesannya namun tidak berjaya. Tunangnya sendiri pun tidak mengetahui di mana dia berada,” ujarnya.

Kata Norhafisah, adiknya ti­dak me­nunjukkan sebarang pe­rubahan atau mengadu mempunyai masalah dan dia ke pasar pagi itu bersama seorang rakannya.

“Mereka berpecah kerana Nur Zulaikha memberitahu ingin membeli baju sebelum mereka berjanji untuk berjumpa selepas itu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Zulaikha diminta menghubungi Norhafisah di talian 019-7261719.