Abdullah Ab. Rahman, 65, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia lang­sung tidak ingat bila dia mendaftar haji akibat sudah terlalu lama.

Katanya, apabila mendapat tawaran untuk menjalani ibadah itu pada Mac lalu, dia tanpa berfikir panjang terus mene­rimanya sebelum memberitahu ahli keluarga.

“Akibat terlalu teruja, saya ter­paksa lupakan dulu anak iste­ri di kampung dan berhajat untuk fokus kepada ibadah yang akan dijalankan di Tanah Suci Mekah nanti.

“Sesiapa pun yang menjejakkan kaki ke sana pastinya mengharapkan haji yang mabrur dan saya tidak mahu kerisauan terhadap keluarga menjejaskan iba­dah itu nanti,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Salim Hamzah, 69, berkata, beliau bersyukur diberikan kesihatan yang baik dan berdoa dapat menyempurnakan ibadah berkenaan tanpa sebarang halangan.

“Dugaan pasti ada, namun se­tiap hari saya berdoa agar Allah permudahkan perjalanan saya dan jemaah lain sepanjang tempoh ini.

“Saya juga berharap agar ahli keluarga mendoakan pemergian saya ini supaya kelancarannya terjamin serta menerima apa sahaja yang telah Allah tentukan,” ujarnya yang berkhidmat sebagai imam di Hutan Melintang, Perak sejak 20 tahun lalu.

Seorang lagi bakal tetamu Allah, Mohd. Ghazali Azidin, 43, mengaku merasa hiba dan terharu selepas menerima surat tawaran untuk mengerjakan ibadah haji pada Jun lalu.

Beliau yang bertugas sebagai imam di sebuah masjid di Tai­ping, Perak berkata, dia memang tidak menyangka berpeluang menunaikan haji pada usia yang agak muda namun menganggapnya sebagai rezeki dari Allah.

“Dalam tempoh masa yang agak pendek iaitu tidak sampai dua bulan, saya perlu mempersiapkan diri untuk menjadi te­tamu Allah dan saya bersyukur kerana sempat menghadiri kursus yang diadakan Tabung Haji.

“Sebagai persediaan menghadapi cuaca yang dilaporkan panas melampau di tanah suci pula, saya akan berusaha menjaga kesihatan sebaik mungkin dan selebihnya saya serahkan kepada Allah,” katanya.

Seramai 448 jemaah haji berlepas terus ke Jedah hari ini menerusi Saudi Arabian Airlines.