Kemenangan gadis tinggi lampai itu sekali gus menewaskan sembilan peserta lain dalam pertandingan akhir yang diadakan di Dewan Utusan, Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Sebagai juara, Husna layak membawa pulang ha­diah wang tunai RM10,000 dan kontrak lakonan tajaan A. Aida Production selain trofi serta pakej percutian ke Balkan yang ditaja oleh Kembara Sufi.

Sementara itu, finalis yang berasal dari Kuala Terengganu, Sarah Mustafa diangkat sebagai naib juara, manakala Puteri A’teeqah Ayu Mohd. Zaharee di tempat ketiga.

Majlis final Gadis Panca MyBeauty 2018 ini diacarakan Joey Daud manakala bakat 10 finalis dinilai barisan juri yang diketuai Ketua Pengarang MHE TV me­rangkap Pengarang Pancaindera, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin; Pengarah MyBeauty, Datuk Wong Kong Choong , Penerbit A.Aida Production, Datuk A.Aida; chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, pelakon Rita Rudaini (pelakon) dan Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katija.

Tiga peserta turut memenangi kategori khas iaitu Best Designer Gadis yang dimenangi oleh Izzah Zinn (rekaan baju Istana Putih), Sharifah Husna (Gadis Panca MHE TV Popular) dan Puteri A’teeqah Ayu (MyBeauty Tourism).

Pencarian Gadis Panca MyBeauty yang dianjurkan Pancaindera, akhbar sisipan popular Mingguan Malaysia bertujuan mencari bakat pelapis dan menyemarakkan industri hiburan tempatan.

Pada majlis itu, selain dihiburkan dengan persembahan artis seperti Amelina, Syafiq Farhain dan Wany Hasrita, terdapat anugerah khas Pancaindera.

Dalam pada itu, tiga anugerah khas diberikan kepada tiga artis terkenal iaitu Wany Hasrita Anugerah Pancaindera Inspirasi, Sufian Suhaimi Anugerah Pancaindera Sensasi dan Kilafairy Anugerah Pancaindera Versatil.