Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan FAMA, Rosilawati Abu Hassan berkata, program itu kini diperluaskan ke seluruh 706 lokasi pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat 1Malaysia dan MyFarm Outlet pada setiap hari.

“Program ini menawarkan penjimatan 27 barangan keperluan seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan antara lima sehingga 20 peratus.

“Kita membeli barangan ini daripada pengeluar dan menjual secara terus kepada orang ramai dengan menghapuskan peranan orang tengah,” kata­nya ketika ditemui selepas me­ninjau Program Jimat Belanja Dapur Pasar Tani Putrajaya di sini.

Rosilawati memberitahu, program Jimat Belanja Dapur yang diperkenalkan sejak 2014 itu me-rupakan langkah kerajaan untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat selain mendidik rakyat untuk berbelanja secara berhemah.

“FAMA berusaha menangani masalah ini termasuk memperkasa program Jimat Belanja Dapur ini.

“Impak program ini kepada pengguna ialah dapat meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Menurut beliau, FAMA juga berhasrat meneruskan program ini sewaktu berlangsungnya Pasar Tani Putrajaya pada setiap Selasa dan Jumaat.