Tinjauan Mingguan Malaysia di bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini hari ini mendapati, potongan slim fit atau tanpa pesak mendapat permintaan tinggi kerana mempunyai daya tarikan tersendiri terutama dalam menonjolkan kelainan kepada si pemakai.

Menurut peniaga, Ahmad Raimi Muhamad, 28, baju Melayu moden ini mula menjadi pilihan setelah digayakan oleh beberapa selebriti terkenal seperti Wak Doyok dan Zizan Razak.

“Potongannya tidak mempu­nyai pesak membuatkan pemakai kelihatan lebih ‘sado’ dan kemas, malah setiap baju mempunyai zip di bahagian kiri dan tangan untuk memudahkan pemakaian.

“Tidak dapat dinafikan orang ramai mula mencari fesyen baju Melayu seperti ini dengan kira-kira 400 pasang baju sudah dijual dalam tempoh sehari sahaja dengan keuntungan lebih RM10,000,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penjual baju Melayu slim fit, Alif Norman, 23, berkata, baju Mela­yu itu menggunakan kain jenis ‘Uomo’ dan kain kapas yang diambil dari luar negara kemudian dijahit oleh tukang jahit mereka.

“Material kain tersebut tidak panas dan sesuai digayakan bila-bila masa sahaja dengan pelbagai jenis warna menarik iaitu merah, kuning, hijau, jingga, kelabu, biru dan banyak lagi mengikut citarasa pelanggan.

“Malah, berdasarkan pemerhatian saya, lebih 70 peratus pelanggan saya memilih baju Melayu slim fit berbanding baju Melayu biasa iaitu 30 peratus sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peminat baju Melayu moden, Zambury Yusof, 43, yang bekerja sebagai pe­ngurus di Dell Malaysia berkata, baju Melayu yang diubah suai mengikut perkembangan terkini sememangnya menguasai kebanyakan bazar Ramadan di ibu negara.

“Harganya juga berpatutan dengan kualiti dan rekaannya iaitu hanya RM168 sepasang baju Melayu dewasa dan kira-kira RM90 bagi sepasang baju Melayu kanak-kanak,” katanya.