Perdana Menteri memberi­tahu, beliau gembira dengan penyertaan orang ramai itu untuk berkongsi cabaran yang dihadapi mereka selain memberikan cadangan untuk dipertimbangkan dalam pembentukan Bajet 2018 sebagaimana yang telah dikemukakan menerusi laman web khas, bajet2018.najibrazak.com.

Kata beliau, berdasarkan penelitian awal, aspek pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, percukai­an, perniagaan dan kewangan serta pengangkutan dan infrastruktur merupakan topik-topik hangat kali ini sekali gus menunjukkan keuta­maan rakyat pada hari ini.

“Saya yakin Bajet 2018 yang bakal dibentangkan akan terus membantu golongan yang memerlukan, pada masa sama inklusif serta holistik terhadap keperluan semua.

“Insya-Allah, semua cadangan yang telah diterima akan diteliti dan dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan kerana ini adalah satu langkah tepat ke arah mendemokrasikan proses pembentukan bajet negara, satu dokumen yang bakal memberi impak yang besar kepada hala tuju negara,” katanya dalam blog beliau, Najibrazak.com, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau tertarik dengan idea Mohd. Saiful Ridzuan yang mencadang­kan agar Sungai Klang dibersih­kan dan dibangunkan untuk menjadi sebuah pengangkutan jalan air utama menghubungkan bandar-bandar di sekitarnya.

Najib menambah, ada juga yang meminta agar kerajaan memba­ngunkan sistem pengangkutan awam yang efisien di negeri-negeri yang berpopulasi tinggi bagi mena­ngani masalah kesesakan lalu lintas.

“Bagi membantu penduduk kampung dalam meningkatkan pendapatan, saudara Freddie te­lah mencadangkan agar diwujudkan satu kerjasama antara pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan penduduk kampung untuk memasang panel solar di rumah-rumah kampung,” jelasnya.

Beliau turut menyatakaan ke­gembiraannya apabila membaca cadangan daripada penduduk-penduduk desa yang mengutarakan hasrat untuk turut terlibat dalam ekonomi digital dan berharap agar peluang untuk mengembangkan perniagaan me­lalui ekonomi digital tidak terhad kepada penduduk bandar sahaja.

“Dalam memastikan peluang ini wujud untuk penduduk desa, saudara Mohamad Zulkhairin Raihan antaranya telah meminta agar kerajaan menaik taraf dan meningkatkan kelajuan capaian internet di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau turut memahami permintaan ramai berhubung pelepasan cukai bagi membantu menangani kos sara hidup golo­ngan berpendapatan tengah.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan telah pun menurunkan kadar cukai pendapatan individu sebanyak 1 hingga 3 mata peratusan yang memanfaatkan 300,000 orang apabila mereka tidak perlu lagi membayar cukai sejak cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan pada tahun 2015.

“Saya juga banyak mengumumkan pelepasan cukai dalam Bajet 2016, contohnya pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa bagi anak-anak yang menyara kedua ibu bapa serta kenaikan had pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi setiap anak berumur 18 tahun yang sedang melanjutkan pelajaran.

“Selain itu, dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula, saya telah mengumumkan pelepasan cukai khas sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah,” katanya.

Beliau juga memberikan contoh menerusi Bajet 2017 apabila kerajaan turut memberikan pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM2,500 setiap tahun.

“Ini hanyalah antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan tengah bagi memastikan nasib mereka terus terbela,” katanya.