Menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, peruntukan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi meningkat sebanyak 13.15 peratus berbanding Bajet 2017.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dalam Bajet 2018, kementeriannya menerima per­untukan seba­nyak RM13.89 bi­lion, meningkat daripada RM12.28 bilion berban­ding sebelumnya.

“Jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan ke­rana terus memberikan perhatian kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dalam Bajet 2018 yang disifatkan sebagai Bajet Soaring Upwards (peningkatan berterusan).

“Bajet kali ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara yang dilihat semakin meningkat dari segi pencapaian mahupun peningkatan di peringkat antarabangsa melalui penarafan dalam QS World University Ranking,” katanya.

Tambahnya, ekosistem penyelidikan negara terus diberikan sokongan apabila menerusi Bajet 2018, peruntukan bagi bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R,D&C) meningkat hampir dua kali ganda kepada RM400 juta berbanding RM235 juta pada 2017.

“Peruntukan ini dilihat boleh meningkatkan kecemerlangan­ in­stitusi pendidikan tinggi di negara ini terutamanya dalam bidang R, D&C yang akan memacu ekonomi negara ke arah Revolusi Industri (IR4.0).

“Malah peningkatan peruntukan itu juga akan membantu Universiti Malaya mencapai kedudukan 100 universiti terbaik dunia dalam jangka masa terdekat.

“Kementerian Pendidikan Ting­gi juga begitu berbangga apabila Futurise Centre di Cyberjaya akan diperkukuhkan sebagai pusat sehenti syarikat korporat dan universiti untuk membangunkan prototype produk serta melonjakkan daya inovasi,” katanya.

Tambah Idris, bagi menyediakan modal insan yang berpe-ngetahuan tinggi dan benovatif, pihaknya juga berterima kasih atas peruntukan biasiswa melalui program MyBrain15 berjumlah RM90juta yang memberi manfaat kepada 10,600 pelajar untuk me­lanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran.

“Kerajaan juga telah bersetuju untuk melaksanakan kursus sarjana dan doktor falsafah (PhD) secara in-house bagi memastikan pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam demi melahirkan penjawat awam yang berilmu dan berpendidikan tinggi,” katanya.

Turut disentuh dalam Bajet 2018 ialah berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) apabila peruntukan tambahan pinjaman sebanyak RM200 juta untuk pelajar kumpulan B40 bagi program yang mempu­nyai kebolehpasaran tinggi untuk pulangan ekonomi pada masa depan.

Berita baik mengenai PTPTN dalam bajet kali ini termasuk diskaun sebanyak 20 peratus bagi menyelesaikan penuh hutang, 10 peratus diskaun untuk bayaran sebanyak 50 peratus hutang dan ansuran bulanan melalui poto­ngan gaji dan direct debit.

Tarikh mula bayar semula pinjaman juga dipanjangkan dari enam bulan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian. Peminjam yang meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya dengan tajaan PTPTN juga boleh menggabungkan pinjaman dan membuat bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.

Turut diteruskan adalah pemberian Insentif Pelepasan Taksiran Cukai sehingga RM6,000 sehingga tahun 2020 bagi penca­rum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Juga, Insentif Geran Sepadan RM500 sebanyak RM250 juta, khusus bagi anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun bagi simpanan terkumpul sehingga RM500 dalam akaun SSPN yang hanya boleh dikeluarkan setelah mereka berumur 18 tahun.

Jelas Idris, Kementerian Pendidikan Tinggi menyambut baik peruntukan sebanyak RM40 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan juga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

“Peruntukan ini akan dapat memberi manfaat kepada 25,000 graduan supaya mereka akan lebih bersedia menempuh alam pekerjaan. Peruntukan itu juga akan membolehkan seramai 3,000 golongan profesional dilatih me­lalui penubuhan National Rail of Excellence dengan kerjasama institut pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya.

Menurutnya, kementerian gem­bira dengan beberapa peruntukan termasuklah peruntukan sebanyak RM2.4 billion kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke arah meningkatkan bilangan profesional bumiputera.

“Sebagai pengiktirafan kepada kepakaran institusi pendidikan tinggi, Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) dinaiktaraf sebagai institusi kebangsaan yang menyelaras pendidikan sosioekonomi peringkat nasional dan mewujudkan indeks sosial negara.

“Kementerian Pendidikan Ting­­gi juga akan terus komited dalam usaha meningkatkan enrolmen pelajar India ke IPTA yang disasarkan sebanyak tujuh peratus. Bantuan RM3,000 juga akan diperuntukan kepada anak-anak Orang Asli yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju mengekalkan pemberian Bantuan Baucer Buku seba­nyak RM250 untuk setiap penuntut IPT dan Tingkatan 6 berjumlah 1.2 juta pelajar, bertujuan untuk menampung kos pengajian.

“Menerusi sokongan kerajaan melalui Bajet Soaring Upwards ini, Kementerian Pendidikan Ting­gi amat komited dalam usaha berte­rusan dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50), selain memastikan Malaysia akan terus Soaring ­Upwards,” katanya.