Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, bengkel berkenaan diadakan bagi membincangkan dan mendapatkan input-input serta cadangan komuniti daripada pelbagai organisasi dan persatuan agar hala tuju bajet tersebut mengambil kira pandangan masyarakat yang ada di kawasan pentadbiran PBT itu.

“Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk menentukan arah dan hala tuju dalam mencapai matlamat MBSA untuk menyediakan perkhidmatan yang efisien dan mewujudkan Shah Alam sebagai bandar raya yang bersih, indah, ceria dan selamat.

“Selain itu, penyediaan bajet juga bertujuan memastikan agihan peruntukan yang teratur bagi memenuhi keperluan organisasi,” katanya, di sini hari ini.

Shahrin menambah, penyediaan bajet itu juga bertujuan memastikan wujudnya akauntabiliti dalam pengurusan kewangan MBSA melalui laporan kewangan tahunan yang disediakan.

Menurutnya, melalui pelaksanaan bengkel tersebut, MBSA memfokuskan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian terhadap peruntukan Bajet 2019 mengikut kategori yang dikhususkan seperti pembangunan infrastruktur jalan, lampu dan lalu lintas, pembangunan infrastruktur saliran dan cerun, kemudahan awam, pengindahan landskap dan rekreasi, pengurusan sampah, kesihatan persekitaran, pembangunan komuniti serta program bandar rendah karbon.

“Dengan penglibatan pelbagai pihak dalam Bengkel Bajet 2019 Bersama Komuniti, MBSA dapat mengambil langkah proaktif bagi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan perbandaran yang bersesuaian untuk semua pihak.

“Pelaksanaan bengkel ini juga diharap dapat memberikan impak positif bagi membantu MBSA terutamanya dalam merancang pembangunan, penyediaan perkhidmatan dan kemudahan serta menyediakan program dan aktiviti yang dikehendaki oleh penduduk Shah Alam,” katanya.

Kira-kira 100 orang menyertai bengkel itu dan antara wakil-wakil komuniti adalah majlis perwakilan penduduk (MPP), persatuan penduduk, ahli jawatankuasa kampung, pemaju, pengilang, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat korporat. - UTUSAN ONLINE