Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober lalu itu melibatkan peruntukan sebanyak RM280.25 bilion iaitu RM234.25 bilion bagi belanja me­ngurus, RM46 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Terdapat lapan petunjang utama dalam Bajet 2018 iaitu merancak pelaburan, perdagangan dan industri, menuju aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), mengungguli pembangunan pendidikan, latihan dan kemahiran serta bakat dan memacu pembangunan inklusif.

Empat lagi ialah mengutamakan kesejahteraan rakyat dan peluang jana pendapatan, mempersiaga revolusi perindustrian keempat dan eknomi baharu, meningkatkan kecekapan dan penyampaian syarikat milik kerajaan (GLC) dan penjawat awam sera mengimbangi kecemerlangan duniawi dan kecemerlangan ukhrawi.

pelaburan berimpak tinggi diberikan penekanan dalam teras pertama Bajet 2018 merangkumi industri berkaitan ­petroleum, logistik, aeroangkasa, rel, robotik serta melanjutkan tempoh galakan cukai hub utama sehingga 31 Disem­ber 2020.

“Kerajaan juga berhasrat untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di lima koridor termasuk projek Wilayah Selatan Perak, Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam; Perindustrian Tok Bali dan Empangan Baleh, Sarawak.

“Sektor lain yang diberikan perhatian dalam teras pertama itu ialah mengukuhkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembiayaan mikro, meningkatkan ­eksport, mempergiatkan sektor pertanian, pelancongan, kesihatan, memacu sektor logistik dan mengukuhkan pasaran kewa­ngan,” kata Pasukan Bajet 2018 dalam ke­n­­yataannya baru-baru ini.

Bagi menuju aspirasi TN50 katanya, pelbagai aspek diberikan perhatian termasuk memupuk budaya menyimpan wang generasi baharu dengan kerajaan memper­kenalkan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) iaitu tabu­ngan bernilai RM200 untuk anak dilahirkan bermula 1 Januari 2018.

“Dalam menuju aspirasi itu sektor pendidikan juga diberikan perhatian dengan pelbagai peruntukan disalurkan termasuk kepada usaha meningkatkan kerjaya dan bakat TN50. Kerajaan juga tidak meminggirkan pembangunan sukan dengan RM1.3 bilion diperuntukkan untuk bidang itu,” katanya.

Selain itu katanya, supaya negara terus berdaya saing, kerajaan sentiasa memastikan pembangunan pendidikan, latihan dan kemahiran tidak dipinggirkan dengan memberi perhatian dalam pelbagai aspek termasuk pembinaan prasekolah, Permata Negara (Permata), sekolah rendah dan menengah, Kolej Vokasional dan matrikulasi.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM2.5 bilion untuk membina semula dan menaik taraf 2,000 sekolah daif di seluruh negara de­ngan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) selain RM550 juta sebagai tabung khas penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

“Kerajaan juga bersetuju me­lanjutkan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Disember 2018.

“Selain menaikkan jumlah pinjaman maksimum kepada pelajar dari keluarga kumpulan isi rumah 40 peratus terendah (B40),” ujar­nya.

Tempoh grace period pembayaran balik pinjaman juga dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan sebelum ini serta peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya boleh menggabungkan pinjaman sebagai satu pinjaman.

Dalam memacu pembangunan inklusif katanya, kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk menyediakan infrastruktur dan prasarana yang berkualiti untuk rakyat seperti Lebuhraya Pan Borneo yang bernilai RM2 bilion, projek mesra rakyat (RM1.1 bilion) dan pembangunan infrastruktur komunikasi (RM1 bilion).

Katanya, kerajaan juga meneruskan agenda pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), program keusahawanan serta usahawan sosial inklusif dan komuniti usahawan global dengan peruntukan RM300 juta.

Sementara itu katanya, aspek keselamatan dan ketenteraman awam tidak pernah dilupakan setiap kali perancangan bajet dan perkara itu terbukti apabila Perdana Menteri mengumumkan pelbagai pembaharuan dan peruntukan untuk memantapkan lagi sistem pertahanan negara.

“Bajet 2018 memperuntukkan RM3 bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan, RM720 juta untuk pembinaan ibu pejabat dan balai polis serta pembelian senjata api, RM490 juta untuk Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia (Maritim Malaysia) dan RM250 juta untuk memper­tingkatkan kawalan keselamatan di ESSCOM.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta untuk meningkatkan keupayaan aset pesenjataan bagi menangani kegiatan keganasan, RM250 juta untuk memperkukuhkan peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan kelengkapan pakaian seragam selain RM40 juta untuk menaik taraf hospital, poli­klinik dan hospital veteren angkatan tentera,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga meneruskan dasar transformasi kesejahteraan bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan RM2.5 bilion untuk biasiswa pengajian tinggi serta latihan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Program peningkatan keusahawanan bumiputera pula diberikan peruntukan sebanyak RM555 juta iaitu RM200 juta untuk keusahawanan dan premis perniagaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), RM200 juta untuk program keusahawanan Mara dan RM155 juta lagi untuk pembangunan dan anjakan usahawan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan turut memastikan ke­sejahteraan masyarakat Cina dan India di negara ini terus terjamin dengan menyediakan pelbagai peruntukan seperti kemudahan pinjaman, program pembangunan keusahawanan, pengagihan khas unit Amanah Saham 1Malaysia dan kemudahan sistem pendidikan.

“Untuk Orang Asli pula, kerajaan memperkenalkan program bantuan makanan komuniti kepada 5,000 pelajar golongan itu dengan peruntukan RM50 juta selain program pembangunan bersepadu perkampungan Orang Asli sebanyak RM60 juta. Kerajaan juga memberikan RM3,000 kepada ibu bapa sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak ke universiti awam,” katanya.