Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, diskaun tersebut adalah seperti 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit secara terus mengikut jadual.

“Bukan itu sahaja, sukacita saya mengumumkan kelonggaran tambahan PTPTN seperti berikut. Pertama, bagi pelajar dari keluarga kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang mengikuti kursus berboleh-pasaran tinggi, RM200 juta ditambah untuk menaikkan jumlah pinjaman maksimum mereka.

“Kedua, tempoh ‘grace period’ pembayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Najib, peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke Ijazah Sarjana Muda boleh menggabungkan pinjaman diploma serta ijazah sebagai satu pinjaman dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian di peringkat ijazah itu. - UTUSAN ONLINE