Perdana Menteri berkata, perkara itu telah pun menjadi keutamaan kerajaan dalam Bajet 2017 apabila sebanyak RM25 bi­lion diperuntukkan bagi penyediaan perkhidmatan kesihatan yang menjadi keperluan utama rakyat.

Menurut beliau, peruntukan tersebut telah digunakan untuk membina hospital-hospital baharu, klinik kesihatan serta menaik taraf kemudahan peralatan rawatan.

“Saya telah umumkan peruntukan RM25 bilion dalam Bajet 2017 yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan untuk rakyat, membina hospital-hospital baharu, klinik kesihatan serta menaik taraf kemudahan peralatan rawatan.

“Nantikan ucapan saya pada 27 Oktober depan untuk ketahui lebih lanjut peruntukan Bajet 2018!,” katanya dalam catatan melalui laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menerusi laman khas #Bajet2018 yang disediakan kerajaan untuk mengetahui cadangan bajet daripada rakyat, orang ramai mengutarakan pelbagai cadangan di bawah kategori perkhidmatan penjagaan kesihatan dan antara idea paling popular adalah penubuhan sebuah hospital khusus untuk kanak-kanak.

Cadangan yang dikemukakan Leong itu bertujuan memenuhi keperluan kesihatan kanak-kanak yang berbeza dengan dewasa serta mempunyai pendekatan kepada rawatan kesihatan khusus termasuk aspek psikologi dan pusat surgeri khas yang mengendalikan kes penyakit kanak-kanak.

Selain itu, orang ramai turut memohon kepada kerajaan untuk memberikan elaun kritikal kepada anggota-anggota penguat kuasa kesihatan kerana mereka berdepan pelbagai risiko dan bahaya ketika menjalankan tugas penguatkuasaan kesihatan demi melindungi rakyat daripada sebarang penyakit.