Ketua Penerangan UMNO ne­geri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, projek-projek pembangunan tersebut sekali gus me­nyangkal tuduhan sebelum ini yang mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak berlaku adil terhadap Kelantan.

“Walaupun negeri ini tidak diperintah oleh BN, namun kita masih memperoleh tiga projek besar seperti pembinaan tebatan banjir, pembinaan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang baharu serta pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) menerusi pembentangan Bajet 2016.

“Projek pembangunan ini membuktikan tuduhan yang mendakwa BN tidak berlaku adil terhadap negeri ini adalah zalim dan tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pe­nyampaian Insentif Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Bendang Pauh Sembilan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar KADA, Ir Mohd. Ridzuan Ismail.

Pada majlis tersebut, sebanyak 200 pemilik sawah dan pengusaha telah menerima insentif di bawah projek NKEA dengan peruntukan RM212,000.

Dalam pada itu, Md. Alwi berkata,menerusi Bajet 2016 juga, Kerajaan Pusat turut melaksanakan Pemutuan Sebenar Padi dan galakan melalui Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) untuk meningkatkan taraf hidup golongan petani.