Selain itu, titah baginda penerapan terhadap budaya hidup yang lebih sihat, cergas serta bebas daripada gejala negatif dalam kalangan pelajar seperti penyalahgunaan najis dadah, aktiviti salah laku dan kegiatan jenayah juga diterapkan bagi memberikan penjelasan, gambaran, kesan dan pencerahan jelas terhadap apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat hari ini.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan ‘Program Titian Kasih Mega Tahun 2019 Peringkat Sekolah Menengah Kawasan Parlimen Padang Besar, Perlis yang diadakan di Hotel Putra Regency Kangar pagi semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Pegawai Penyelaras Program, Kapt Azuan Mohd Nasir.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Izmi Ismail dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Perlis, Azizah Ahmad.

Program tahunan masuk tahun yang ke-11 ini adalah anjuran YTSP Perlis melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut menambah bahawa menjadi harapan baginda agar kumpulan sasaran ini iaitu para pelajar di sekolah masing-masing dapatlah menghayati, memahami dan mengamalkan setiap mesej dan apa yang disampaikan di sepanjang program ini berlangsung demi kecemerlangan masa depan mereka.

Pada masa yang sama, baginda berharap agar para penceramah terlibat juga sentiasa ’bersedia’ dengan penyampaian mereka yang lebih menarik, interaktif dan bertenaga supaya perkongsian tersebut akan memberikan impak yang mendalam dan lebih berkesan dalam tempoh masa yang cukup terhad itu.

Untuk rekod, pada sesi tahun ini, sebanyak sembilan buah sekolah terpilih akan mengelolakannya dengan mengekalkan konsep perkongsian ilmu serta pengalaman yang melibatkan beberapa topik dan tajuk yang difikirkan yang terbaik, selari, terkini dan relevan dengan perkembangan semasa pelajar di zaman ini dan di dalam usaha mendidik generasi masa depan negeri dan negara ini. - UTUSAN ONLINE