Di sebalik manfaat untuk pembinaan ketamadunan, ada segelintir individu tidak bertanggungjawab melihatnya sebagai peluang untuk melakukan penipuan menerusi ‘kepakaran’ mereka.
Penjenayah siber turut mengubah modus operandi dengan tidak lagi mencari mangsa, sebaliknya, lebih kepada memasang umpan dan menanti perangkap mengena.
Dalam Laporan Khas Utusan Malaysia ini, wartawan HADI AB. MANAP berkongsi muslihat terkini jenayah penipuan siber sebagai panduan semua.

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. -  Selain menjadikan aplikasi telefon pintar sebagai medium tumpangan untuk memperdayakan mang;sa, sindiket jenayah siber atau scammer juga giat mengintai sasaran menerusi rangkaian perkhidmatan internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi) percuma.

Memang sudah menjadi kelaziman di negara ini, penawaran WiFi percuma iaitu secara terbuka dan tidak disulitkan boleh didapati di mana-mana sahaja sama ada di restoran mewah, francais makanan segera mahupun kedai mamak.

Pengerusi Pusat Keselamatan Siber, Fakulti Teknologi Sains dan Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Siti Norul Huda Sheikh Abdullah menjelaskan, modus operandi sindiket mela­lui cara berkenaan adalah de­ngan mengganggu pengguna terlebih dahulu melalui taktik memutuskan rangkaian sebenar.

Beliau berkata, tanpa menye­dari bahawa situasi itu adalah ‘umpan’ sindiket, pengguna tanpa berfikir panjang akan me­nyambung semula rangkaian tetapi sebenarnya telah terlebih dahulu dipintas oleh perisian hasad.

“Perisian hasad ini boleh meminta pengguna mengisi maklumat peribadi seperti kata nama dan kata laluan.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya menggunakan rangkaian WiFi tertutup apabila ingin melakukan transaksi penting seperti perbankan dan pembelian secara dalam talian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perisian hasad boleh mencuri maklumat sensitif daripada gajet peribadi dan secara beransur-ansur menurunkan prestasi sesebuah komputer dan telefon pintar

Selain itu, ia juga mampu menghantar e-mel palsu daripada akaun e-mel seseorang tanpa pengetahuan mangsa.