Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, rahsia ketamadunan adalah melalui penerokaan dunia de­ngan bahasa yang kecenderungannya terus menjadi bahasa pembudayaan serta lain-lain fungsi yang terisi melalui hiburan, komunikasi, penulisan, politik dan lain-lain.

“Transformasi Nasional 50 (TN50) seharusnya mempu­nyai penjiwaan budaya tinggi jika mahu diterima sebagai piagam perjuangan masa depan. Realiti­nya, bahasa memainkan peranan penting dalam pembudayaan, apatah lagi dalam budaya tinggi.

“Saya berani menyatakan bahawa jika dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan tidak dilaksanakan, lambat laun bahasa Melayu akan menghilang dari arus perdana,” katanya dalam ucaptama bertajuk Pencapaian Budaya Tinggi di Kala­ngan Masyarakat Malaysia di Pusat Pengajian Luar Universiti Beijing (BFSU), China hari ini.

Menurut Rais, pelaksanaan dasar budaya tinggi anak Malaysia akan menjadi arus perdana perpaduan kaum di negara ini.

“Kita di Malaysia mesti yakin dengan keteguhan daripada ung­kapan ‘bersatu dalam kepelbagai­an’ budaya, agama dan kepercayaan selain kecenderungan dan pegangan politik,” katanya.

“Kepada bahasa Kebangsaan, yakni bahasa Melayulah kita sandarkan keyakinan buat masa hadapan dengan usaha serta perjuangan yang mampan menerusi kedudukannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan serta bahasa komunikasi utama,” katanya.

Tambah Rais, proses pembudayaan ke arah budaya tinggi juga akan terpengaruh melalui percambahan universiti serta sekolah-sekolah swasta yang kini mengatasi pertumbuhan universiti awam dan sekolah vernakular.

“Kecenderungan bahasa Inggeris itu dijangka berkembang lebih pesat dan dengan itu proses pembudayaan ke arah budaya tinggi juga akan terpengaruh melalui perkembangan ini.

“Diharapkan kita tidak menumpulkan azam ke arah mewujudkan budaya tinggi itu melalui bahasa Kebangsaan kita serta melalui kaedah lain,” katanya.