Sehubungan itu, MPOCC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menafikan tuduhan kononnya agensi itu tidak memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tidak tepat dan tidak berasas sama sekali.

Katanya, penggunaan bahasa lain dalam satu-satu majlis hanya digunakan jika golongan sasar dihadiri pelbagai latar belakang kaum tertentu supaya segala maklumat dapat disampaikan secara tepat serta difahami oleh peserta.

“Bahasa utama dalam penyampaian taklimat ini adalah bahasa Melayu dan Inggeris. Namun, memandangkan taklimat ini dihadiri oleh golongan sasar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum, penggunaan bahasa lain turut digunakan bagi memastikan segala maklumat dapat disampaikan.

“Ini termasuklah bahasa Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan. Justeru, pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan MPOCC sedang giat memperluaskan kempen kesedaran dan program tunjuk ajar ke pelbagai lokasi berikutan hanya tiga peratus pekebun kecil tersenarai sebagai penerima Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) setakat ini,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan surat Kementerian Industri Utama yang menganjurkan program MPOCC dalam bahasa Mandarin pada 27 April ini di Sitiawan dan Teluk Intan, Perak.-UTUSAN ONLINE