Yang pastinya, tahun 2019 menjadikan persidangan MABBIM di Kuala Lumpur amat signifikan dengan kesungguhan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang bertekad turut melipatgandakan usaha menjadikan bahasa Melayu, bahasa utama dunia.


Malah MABBIM juga sepakat untuk menyediakan Memorandum Persefahaman Bersama yang baharu antara ketiga-tiga buah negara anggota, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam yang dijangka akan ditandatangani oleh ketiga-tiga Menteri Pendidikan negara yang berkenaan pada tahun 2020 sewaktu sidang MABBIM di Jakarta, Indonesia.


ABANG Sallehuddin Abang Shokeran
ABANG Sallehuddin Abang Shokeran 

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran berkata, keyakinan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa telah sekian lama dizahirkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dengan kementeriannya akan melakar pelan yang komprehensif untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pilihan utama di tanah air, dalam kalangan penutur bahasa Melayu di rantau ASEAN, dan juga menjadi bahasa popular di persada dunia.


Ternyata usaha ini bukan sahaja mendapat dukungan yang penuh dari Kementerian Pendidikan, malah menurut Abang Sallehuddin, Kementerian Luar, negara -negara yang berkenaan akan turut berunding untuk mencapai tujuan yang sama dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menyatakan persetujuan untuk membantu usaha ini.

Kata Abang Sallehuddin, inilah masa dan peluang yang terbaik untuk merealisasikan hasrat ini dengan dukungan kuat Dr. Maszlee dan Saifuddin.
 
“Hal ini bermaksud, MABBIM akan mendapat semangat baharu yang lebih utuh apabila Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar di tiga buah negara berganding bahu untuk menjadikan bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa yang berperanan besar di persada dunia. Hal ini disokong dengan sifat fleksibel bahasa Melayu/Indonesia yang mudah menerima perubahan, suatu ciri bahasa ilmu yang relevan dengan peredaran zaman, sekali gus menjadi kekuatan untuk bahasa ini berkembang serta mengharungi gelombang Revolusi Perindustrian 4.0,” jelas Abang Sallehuddin. - UTUSAN ONLINE