Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan berhasrat untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa utama dan rasmi ASEAN serta menjadi salah satu bahasa pengantara utama di peringkat global menjelang tahun 2050 selari dengan dasar TN50.


“Saya ingin memberi jaminan bahawa, visi TN50 ini, tidak akan sesekali meminggirkan bahasa Melayu, malah kedudukannya akan terus dimartabat dan diangkat tinggi hingga ke persada antarabangsa.


“Bahasa Melayu merupakan lambang jatidiri bangsa dan gerakan memperkasa serta mengembangkannya, boleh juga dianggap sebagai usaha meningkatkan semangat patriotisme, yakni kecintaan mendalam terhadap bahasa Melayu itu sendiri,” kata Najib.


Najib berucap ketika merasmikan pertandingan akhir Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa Piala Perdana Menteri 2017 (PIBM 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.


Serentak itu Najib juga mahu penggunaan bahasa Melayu secara salah di media sosial dihentikan.


“Sebarang penggunaan yang boleh merendah dan mencemarkan keindahan serta nilai estetika Bahasa Melayu, khususnya seperti yang sering terjadi di media-media sosial, seperti Facebook, Twitter, Instagram dan SMS, seharusnya dielakkan serta dibendung pada kadar segera.


“Contohnya penggunaan tatabahasa yang ‘tunggang-langgang’, ejaan ‘hentam keromo’, termasuklah menggunakan perkataan harian seperti ‘Lu’ dan ‘Gua’ yang bermaksud, ‘awak’ dan ‘saya’, yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan keindahan bahasa Melayu,” kata Najib.


PABM 2017 anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (Makum).


Pidato yang memasuki edisi ke-11 penganjuran disertai seramai 53 peserta dari 35 negara dari seluruh dunia.


Tiga kategori dipertandingkan iaitu antarabangsa, pelajar antarabangsa di Malaysia dan nusantara.


PABM menawarkan hadiah berupa piala pusingan berserta wang tunai berjumlah RM20,000, RM12,000 dan RM8,000 masing-masing untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori.


Turut hadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - UTUSAN ONLINE